Kisah benar ini telah diceritakan oleh
seorang pengurus jemaah haji dan umrah, ketika peristiwa itu umur beliau
dalam lingkungan 20 tahun dan masih menuntut di Universiti Al-Azhar.
Kebetulan ketika itu beliau balik ke Mekah sekejap untuk menghabiskan
cuti semester.
Beliau menetap di Mekah sejak 1981
selepas menamatkan pengajian diSekolah Agama Gunung Semanggol, Perak.
Keluarganya semua menetap di Mekah, kecuali beliau seorang saja yang
mana sebelum ini tinggal dengan neneknya di Perak. Walaupun di usia yang
muda ketika itu, beliau ditugaskan oleh bapanya, Haji Nasron untuk
menguruskan jemaah haji dan umrah memandangkan beliau adalah anak sulung
dalam keluarganya.
Sama-samalah kita hayati kisah ini untuk renungan bersama.
Selama hampir sembilan tahun menetap di
Mekah sambil menguruskan jemaah haji dan umrah, saya telah melalui
pelbagai pengalaman menarik dan pelik. Bagaimanapun, dalam banyak-banyak
peristiwa itu, ada satu kejadian yang pasti tidak akan saya lupakan
sampai bila-bila. Ianya berlaku kepada seorang wanita yang berusia di
pertengahan 30-an, dikatakan bekerja sebagai seorang pramugari. Kejadian
itu berlaku semasa saya menguruskan satu rombongan haji.
Ketibaan wanita tersebut dan rombongan
haji di Lapangan Terbang Jeddah kami sambut dengan sebuah bas. Semuanya
nampak riang sebab itulah kali pertama mereka mengerjakan haji. Sebaik
sampai, saya membawa mereka menaiki bas dan dari situ, kami menuju ke
Madinah.
Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar
hinggalah kami sampai di Madinah. Tiba di Madinah, semua orang turun
dari bas berkenaan. Turunlah mereka seorang demi seorang sehingga tiba
kepada giliran wanita terbabit. Tetapi tanpa sebarang sebab, sebaik
sahaja kakinya mencecahkan bumi Madinah, tiba-tiba wanita itu tumbang
tidak sedarkan diri. Sebagai orang yang dipertanggungjawabkan mengurus
jemaah itu, saya pun bergegas menuju ke arah wanita berkenaan. “Jemaah
ni sakit” kata saya pada jemaah-jemaah yang lain.
Suasana yang tadinya tenang serta merta bertukar menjadi cemas. Semua jemaah nampak panik dengan apa yang sedang berlaku.
“Badan dia panas dan menggigil. Jemaah ni tak sedarkan diri, cepat tolong saya, kita bawa dia ke hospital,” kata saya.
Tanpa membuang masa, kami mengangkat
wanita tersebut dan membawanya ke hospital Madinah yang terletak tidak
jauh dari situ. Sementara itu, jemaah yang lain dihantar ke tempat
penginapan masing-masing. Sampai di hospital Madinah, wanita itu masih
belum sedarkan diri. Berbagai-bagai usaha dilakukan oleh doktor untuk
memulihkannya, namun semuanya gagal.
Sehinggalah ke petang, wanita itu masih
lagi koma. Sementara itu, tugas mengendalikan jemaah perlu saya
teruskan. Saya terpaksa meninggalkan wanita tersebut terlantar di
hospital berkenaan. Namun dalam kesibukan menguruskan jemaah, saya
menghubungi hospital Madinah untuk mengetahui perkembangan wanita
tersebut. Bagaimanapun, saya diberitahu dia masih tidak sedarkan diri.
Selepas dua hari, wanita itu masih juga
tidak sedarkan diri. Saya makin cemas, maklumlah, itu adalah pengalaman
pertama saya berhadapan dengan situasi seperti itu. Memandangkan usaha
untuk memulihkannya semuanya gagal, maka wanita itu dihantar ke Hospital
Abdul Aziz Jeddah untuk mendapatkan rawatan lanjut sebab pada masa itu
hospital di Jeddah lebih lengkap kemudahannya berbanding hospital
Madinah. Namun usaha untuk memulihkannya masih tidak berhasil.
Jadual haji mesti diteruskan. Kami
bertolak pula ke Mekah untuk mengerjakan ibadat haji. Selesai haji,
sekali lagi saya pergi ke Jeddah. Malangnya, bila sampai di Hospital
King Abdul Aziz, saya diberitahu oleh doktor bahawa wanita tersebut
masih koma. Bagaimanapun, kata doktor, keadaannya stabil. Melihat
keadaannya itu, saya ambil keputusan untuk menunggunya di hospital.
Selepas dua hari menunggu, akhirnya
wanita itu membuka matanya. Dari sudut matanya yang terbuka sedikit itu,
dia memandang ke arah saya. Tapi sebaik saja terpandang wajah saya,
wanita tersebut terus memeluk saya dengan erat sambil menangis
teresak-esak.
Sudah tentu saya terkejut sebab saya ni
bukan mahramnya. Tambahan pula kenapa saja dia tiba-tiba menangis?? Saya
bertanya kepada wanita tersebut, “Kenapa Puan menangis?”
“Ustaz….saya taubat dah Ustaz. Saya
menyesal, saya takkan buat lagi benda-benda yang tak baik. Saya
bertaubat, betul-betul taubat.”
“Kenapa pulak ni puan tiba-tiba saja nak
bertaubat?” tanya saya masih terpinga-pinga. Wanita itu terus menangis
teresak-esak tanpa menjawab pertanyaan saya itu.
Seketika kemudian dia bersuara,
menceritakan kepada saya mengapa dia berkelakuan demikian, cerita yang
bagi saya perlu diambil iktibar oleh kita semua.
Katanya, “Ustaz, saya ni sudah berumah
tangga, kahwin dengan lelaki orang putih. Tapi saya silap. Saya ini cuma
Islam pada nama dan keturunan saja. Ibadat satu apa pun saya tak buat.
Saya tak sembahyang, tak puasa, semua amalan ibadat saya dan suami saya
tak buat. Rumah saya penuh dengan botol arak. Suami saya tu saya sepak
terajang, saya pukul-pukul saja,” katanya tersedu-sedan.
“Habis yang puan pergi haji ini?”
“Yalah…saya tengok orang lain pergi haji, saya pun teringin juga nak pergi.”
“Jadi apa sebab yang puan menangis sampai macam ni sekali. Ada sesuatu ke yang puan alami semasa sakit?” tanya saya lagi.
Dengan suara tersekat-sekat, wanita itu menceritakan,
“Ustaz…Allah itu Maha Besar, Maha Agung,
Maha Kaya. Semasa koma tu, saya telah diazab dengan seksaan yang
benar-benar pedih atas segala kesilapan yang telah saya buat selama ini.
“Betul ke puan?” tanya saya, terkejut.
“Betul Ustaz. Semasa koma itu saya telah
ditunjukkan oleh Allah tentang balasan yang Allah beri kepada saya.
Balasan azab Ustaz, bukan balasan syurga. Saya rasa seperti diazab di
neraka. Saya ni seumur hidup tak pernah pakai tudung. Sebagai balasan,
rambut saya ditarik dengan bara api. Sakitnya tak boleh nak saya
ceritakan macam mana pedihnya. Menjerit-jerit saya minta ampun minta
maaf kepada Allah.”
“Bukan itu saja, buah dada saya pula
diikat dan disepit dengan penyepit yang dibuat daripada bara api,
kemudian ditarik ke sana-sini…putus, jatuh ke dalam api neraka. Buah
dada saya rentung terbakar, panasnya bukan main. Saya menjerit, menangis
kesakitan. Saya masukkan tangan ke dalam api itu dan saya ambil buah
dada tu balik.”
Tanpa mempedulikan pesakit lain dan
jururawat memerhatikannya wanita itu terus bercerita. Menurutnya lagi,
setiap hari dia diseksa, tanpa henti, 24 jam sehari. Dia tidak diberi
peluang langsung untuk berehat atau dilepaskan daripada hukuman
sepanjang masa koma itu dilaluinya dengan azab yang amat pedih. Dengan
suara tersekat-sekat, dengan air mata yang makin banyak bercucuran,
wanita itu meneruskan ceritanya,
“Hari-hari saya diseksa. Bila rambut
saya ditarik dengan bara api, sakitnya terasa seperti nak tercabut kulit
kepala. Panasnya pula menyebabkan otak saya terasa seperti menggelegak.
Azab itu cukup pedih…pedih yang amat sangat…tak boleh nak diceritakan.”
Sambil bercerita, wanita itu terus
meraung, menangis teresak-esak. Nyata dia betul-betul menyesal dengan
kesilapannya dahulu. Saya pula terpegun, kaget dan menggigil mendengar
ceritanya. Begitu sekali balasan Allah kepada umatnya yang ingkar.
“Ustaz…saya ni nama saja Islam, tapi
saya minum arak, saya main judi dan segala macam dosa besar. Kerana saya
suka makan dan minum apa yang diharamkan Allah, semasa tidak sedarkan
diri itu saya telah diberi makan buah-buahan yang berduri tajam. Tidak
ada isi pada buah itu melainkan duri-duri sahaja, tapi saya perlu makan
buah-buah itu sebab saya betul-betul lapar.
“Bila ditelan saja buah-buah itu,
duri-durinya menikam kerongkong saya dan bila sampai ke perut, ia
menikam pula perut saya. Sedangkan jari yang tercucuk jarum pun terasa
sakitnya, inikan pula duri-duri besar menyucuk kerongkong dan perut
kita.
Habis saja buah-buah itu saya makan,
saya diberi pula makan bara-bara api. Bila saya masukkan saja bara api
itu ke dalam mulut, seluruh badan saya rasa seperti terbakar hangus.
Panasnya cuma Allah saja yang tahu. Api yang ada di dunia ini tidak akan
sama dengan kepanasannya.
Selepas habis bara api, saya minta
minuman, tetapi…saya dihidangkan pula dengan minuman yang dibuat dari
nanah. Baunya cukup busuk. Tapi saya terpaksa minum sebab saya sangat
dahaga. Semua terpaksa saya lalui…azabnya tak pernah rasa, tak pernah
saya alami sepanjang saya hidup di dunia ini.”
Saya terus mendengar cerita wanita itu dengan tekun. Terasa sungguh kebesaran Allah.
“Masa diazab itu, saya merayu mohon
kepada Allah supaya berilah saya nyawa sekali lagi, berilah saya peluang
untuk hidup sekali lagi. Tak berhenti-henti saya memohon. Saya kata
saya akan buktikan bahawa saya tak akan ulangi lagi kesilapan dahulu.
Saya berjanji tak akan ingkar perintah Allah dan akan jadi umat yg
soleh. Saya berjanji kalau saya dihidupkan semula, saya akan tampung
segala kekurangan dan kesilapan saya dahulu, saya akan mengaji, akan
sembahyang, akan puasa yang selama ini saya tinggalkan.”
Saya termenung mendengar cerita wanita
itu. Benarlah, Allah itu Maha Agung dan Maha Berkuasa. Kita manusia ini
tak akan terlepas daripada balasannya. Kalau baik amalan kita maka
baiklah balasan yang akan kita terima, kalau buruk amalan kita, maka
azablah kita di akhirat kelak. Alhamdulillah, wanita itu telah
menyaksikan sendiri kebenaran Allah.
“Ini bukan mimpi ustaz. Kalau mimpi
azabnya takkan sampai pedih macam tu sekali. Saya bertaubat Ustaz, saya
tak akan ulangi lagi kesilapan saya dahulu. Saya bertaubat… saya taubat
Nasuha,” katanya sambil menangis-nangis.
Sejak itu wanita berkenaan benar-benar
berubah. Bila saya membawanya ke Mekah, dia menjadi jemaah yang paling
warak. Amal ibadahnya tak henti-henti. Contohnya, kalau wanita itu pergi
ke masjid pada waktu maghrib, dia cuma akan balik ke biliknya semula
selepas sembahyang subuh.
“Puan…yang puan sembahyang teruk-teruk
ni kenapa. Puan kena jaga juga kesihatan diri puan. Lepas sembahyang
Isyak tu puan baliklah, makan nasi ke, berehat ke…” tegur saya.
“Tak apalah Ustaz. saya ada bawa buah kurma. Bolehlah saya makan semasa saya lapar.”
Menurut wanita itu, sepanjang berada di
dalam Masjidil Haram, dia mengqadakan semula sembahyang yang
ditinggalkannya dahulu. Selain itu dia berdoa, mohon kepada Allah supaya
mengampunkan dosanya. Saya kasihan melihatkan keadaan wanita itu, takut
kerana ibadah dan tekanan perasaan yang keterlaluan dia akan jatuh
sakit pula. Jadi saya menasihatkan supaya tidak beribadat keterlaluan
hingga mengabaikan kesihatannya.
“Tak boleh Ustaz. Saya takut…saya dah
merasai pedihnya azab tuhan. Ustaz tak rasa, Ustaz tak tau. Kalau Ustaz
dah merasai azab itu, Ustaz juga akan jadi macam saya. Saya betul- betul
bertaubat.” Wanita itu juga berpesan kepada saya, katanya, “Ustaz,
kalau ada perempuan Islam yang tak pakai tudung, Ustaz ingatkanlah pada
mereka, pakailah tudung, jaga lah aurat dengan sempurna.
Cukuplah saya seorang saja yang merasai
seksaan itu, saya tak mau wanita lain pula jadi macam saya. Semasa
diazab, saya tengok undang-undang yang Allah beri ialah setiap sehelai
rambut wanita Islam yang sengaja diperlihatkan kepada orang lelaki yang
bukan mahramnya, maka dia diberikan satu dosa. Kalau 10 orang lelaki
bukan mahram tengok sehelai rambut saya ini, bermakna saya mendapat 10
dosa.”
“Tapi Ustaz, rambut saya ini banyak
jumlahnya, beribu-ribu. Kalau seorang tengok rambut saya, ini bermakna
beribu-ribu dosa yang saya dapat. Kalau 10 orang tengok, macam mana?
Kalau 100 orang tengok? Itu sehari, kalau hari-hari kita tak pakai
tudung macam saya ni??? Allah…”
“Saya berazam, balik saja dari haji ini,
saya akan minta tolong dari ustaz supaya ajar suami saya sembahyang,
puasa, mengaji, buat ibadat. Saya nak ajak suami pergi haji. Seperti
mana saya, suami saya tu Islam pada nama saja. Tapi itu semua kesilapan
saya. Saya sudah bawa dia masuk Islam, tapi saya tak bimbing dia. Bukan
itu saja, saya pula yang jadi seperti orang bukan Islam.”
Sejak balik dari haji itu, saya tak
dengar lagi apa-apa cerita tentang wanita tersebut. Bagaimanapun, saya
percaya dia sudah menjadi wanita yang benar-benar solehah. Adakah dia
berbohong kepada saya tentang ceritanya diazab semasa koma?
Tidak. Saya percaya dia bercakap benar. Jika dia berbohong, kenapa dia berubah dan bertaubat Nasuha?
Satu lagi, cubalah bandingkan azab yang
diterimanya itu dengan azab yang digambarkan oleh Allah dan Nabi dalam
Al-Quran dan hadith. Adakah ia bercanggah? Benar, apa yang berlaku itu
memang kita tidak dapat membuktikannya secara saintifik, tapi bukankah
soal dosa dan pahala, syurga dan neraka itu perkara ghaib?
Janganlah bila kita sudah meninggal
dunia, bila kita sudah diazab barulah kita mahu percaya bahawa “Oh…
memang betul apa yang Allah dan Rasul katakan. Aku menyesal…” Itu dah
terlambat.
Firman Allah yang bermaksud:
“Orang-orang yang tidak beriman kepada
hari kiamat itu meminta (secara mengejek-ejek) supaya disegerakan
kedatangannya, dan (sebaliknya) orang-orang yang beriman merasa takut
ngeri kepadanya serta mereka mengetahui dengan yakin bahawa ia adalah
benar. Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang yang membantah mengenai hari
kiamat itu, tetap berada dalam kesesatan yang jauh terpesong.”
(Asy-Syuura 42:18)
Wallahu’alam….
Sumber : http://www.myberita.com/kisah-pramugari-koma-di-tanah-suci/
Sumber : http://www.myberita.com/kisah-pramugari-koma-di-tanah-suci/
0 komentar:
Posting Komentar